KUALA LUMPUR, 4 Februari:

Menteri Besar (MB) Kedah yang baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hanya mempunyai tempoh dua tahun sahaja bagi membuktikan kemampuannya mentadbir negeri tersebut.

Beliau yang baru dilantik hari ini menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat perlu bekerja keras bagi memuaskan hati ahli-ahli Umno di Kedah dan juga rakyat negeri itu, kata Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

“Cumanya tugas dia berat. Ada dua benda paling penting beliau kena buat. Pertama sekali, kena satu padukan Umno di Kedah kerana isu ini telah menyebabkan perpecahan. Untuk menyatukan Umno, tidak boleh dia sendiri, dia memerlukan pemimpin lain untuk membantu memenangkan hati orang Umno semula.

“Yang keduanya ialah memulihkan kepercayaan rakyat balik kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) sebab ada banyak yang kecewa bila Mukhriz digantikan

“Itu saya rasa paling mudah untuk beliau selesaikan adalah dengan menunjukkan prestasi dalam masa dua tahun, melibatkan pentadbiran, pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan stabiliti dalam hubungan dan gerak turun ke akar umbi, kalau dia capai semua itu, saya rasa orang akan balik dan beri sokongan kuat kepada beliau lah.

“Cuma sekarang ini adalah masa, sebab dia ada dua tahun sahaja. Kena kerja keras,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelantikan Ahmad Bashah sebagai MB Kedah setelah kemelut pertukaran MB negeri berkenaan berlarutan sehingga dua minggu.

Menurut beliau, kelayakan Ahmad Bashah terserlah ekoran kesetiaanya kepada parti dan juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Bashah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Batu itu dilihat tetap setia dengan Umno meskipun pada sesi lepas jawatannya selaku Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah digantikan dengan Mukhriz.

Malah, beliau juga dilihat kekal bersama Umno untuk satu masa yang lama dan berusaha keras untuk mengembalikan Umno dari tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu.

“Kalau kita lihat secara umumnya, beliau adalah orang paling kanan dalam Umno sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah. Beliau rapat juga dengan Datuk Seri Najib dan memang nampak dia paling layaklah untuk menggantikan MB.

“Dari segi pendidikan memang ada ramai yang pertikaikan, jadi itu satu hakikat yang Umno kena fikirkanlah. Tetapi secara umumnya tiada siapa yang boleh pertikaikan pengalaman beliau, beliau sudah lama dalam Umno.

“Dan kesetiaan beliau pada Umno dan pada Najib tidak boleh dipertikaikan. Kesetiaan beliau pada Umno itu yang melayakkan beliau menjadi MB Kedah yang baru,” tambah Azizuddin lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Pemerhati Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli berkata, Ahmad Bashah dan adun-adunnya perlu bekerja keras melaksanakan manifesto yang pernah dijanjian BN dan Umno sebelum ini.

Ini kerana, kemelut pertukaran Mukhriz sebelum ini adalah dikatakan ekoran kegagalan anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dalam mentadbir negeri Kedah.

“Kalau sebelum ini dikatakan pengurusan negeri itu tidak cekap, mereka perlu untuk memastikan aspek yang tidak cekap itu dipulih balik. Kena perbaiki supaya tidak timbul masalah sebab orang menilai.

“Penting untuk mendapat maklum balas dengan rakyat, apa yang sudah dilakukan, apa yang diperlukan dan paling penting rakyat boleh berhubung secara langsung dengan pemimpin.

“Pemimpin kena turun padang, kena pastikan jentera parti dan kerajaan negeri berfungsi dengan sewajarnya,” katanya kepada The Rakyat Post.

Beliau dalam masa yang sama memuji tindakan Mukhriz yang bersikap ‘gentleman’ dengan berundur dari kedudukan MB negeri itu.

“Dalam konteks Kedah jelas bahawa MB sendiri mengakui dia telah kehilangan kepercayaan, dan beliau telah mengambil langkah yang gentleman dengan mengundur diri dari jawatan MB tetapi kekal sebagai Adun yang dipilih oleh rakyat di kawasan beliau

“Jadi itu adalah tanggungjawab yang akan dipikul Mukhriz sendiri sehinggalah PRU akan datang,” tambah beliau yang juga pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM itu.

Senada dengan Mohd Azizuddin, Amirul Akhbar berpandangan bahawa manifesto merupakan kayu aras terbaik buat Ahmad Bashah untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno dan BN pada PRU akan datang.

Beliau berpendapat, rakyat yang kini lebih bijak menilai akan melihat setiap perubahan dan langkah yang diambil kerajaan negeri selepas pertukaran Mukhriz ini.

“MB baru perlu untuk mengotakan manifesto-manifesto berkenaan, kerana jika tidak dikotakan maka ia akan menjadi satu perkara yang rakyat akan nilai.

“Jadi perlu untuk Ahmad Bashah menunjukkan, walaupun berlaku sedikit ketegangan dalam parti Umno di Kedah, tetapi tidak menjejaskan perancangan malah akan dapat untuk mengotakan segala janji-janji kepada rakyat.

“Kalau kawasan rakyat dijaga, keperluan perancangan teratur dan sebagainya, mereka akan dapat melihat semua itu. Sebab rakyat sekarang bukan jenis ikut telunjuk, tetapi rakyat kini mudah menilai,” ujarnya lagi.