KUANTAN, 3 Februari:

Ketika dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Kuantan, yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Kuantan pada tengah hari, pemandangan debu merah meliputi sebahagian besar landskap menyambut kedatangan wartawan Bernama.

Apa yang dilihat sebagai pusuan debu merah, kereta-kereta yang lalu lalang, papan tanda di jalan raya, malahan pokok-pokok pun turut diselubungi debu merah.

Lantas teringatkan cakap-cakap ‘nakal’ sesetengah pihak yang menyamakan landskap Kuantan bagaikan landskap planet Marikh.

Penulis yang baru menjejak kaki ke kawasan Pelabuhan Kuantan sudah berasa rimas dengan udara merah yang terpaksa disedut, tertanya-tanya bagaimana penduduk berhampiran boleh bertahan dengan keadaan itu sejak tiga tahun lepas.

Apa yang paling menyentuh hati penulis adalah rumah-rumah di situ kelihatan seolah-olah dicat merah yang mana sebenarnya itu adalah debu bauksit yang melekat pada dinding rumah.

Sambil penulis bergerak meninjau kawasan pelabuhan pandangan kami tiba-tiba kabur kerana debu merah yang dibawa oleh lori bauksit melintasi kereta yang kami naiki.

Senario ini menyedarkan penulis betapa pentingnya udara bersih dalam kehidupan seharian kerana udara yang tercemar menjejaskan kesihatan.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah sebenarnya punca debu merah ini?

PENDUDUK IMUN DENGAN DEBU

Penulis berkesempatan menemuramah penduduk di sekitar Kampung Selamat terletak kurang satu kilometer dari pelabuhan dan peniaga di sekitar pinggir Jalan Gebeng untuk mendapatkan gambaran yang jelas.

Ketua Kampung Selamat, Manap Muda, 64, mengeluh aktiviti perlombongan bauksit menyumbang kepada pencemaran alam sekitar termasuk debu merah di Kuantan.

Sepanjang tiga tahun ‘hidup’ dengan debu bauksit, Manap berkata beliau dan keluarga seolah-olah sudah imun dengan keadaan ini.

“Setiap kali angin bertiup debu masuk rumah, kami sudah biasa dengan keadaan ini. Tidak pasti sampai bila akan hidup begini tapi saya yakin kerajaan akan melakukan sesuatu untuk membetulkannya,” katanya.

Manap melahirkan kekesalannya kerana isu bauksit hanya mendapat perhatian pihak berkuasa dan media setelah sungai dan laut di Kuantan menjadi merah pada akhir Disember 2015.

Sebelum ini keluhan penduduk kampung di situ tidak dipedulikan langsung walau pelbagai cara telah dilakukan bagi mendapatkan pembelaan.

“Kami telah menghantar memorandum kepada pelbagai jabatan yang relevan namun keluhan kami hanya ibarat anjing menyalak bukit, bukit tidak akan runtuh, tiada siapa ingin peduli.

“Syukurlah akhirnya kerajaan mendengar keluhan rakyat dengan mengenakan moratorium (menghentikan sementara) selama tiga bulan bermula 15 Jan lepas,” katanya.

Manap berharap aktiviti perlombongan bauksit ini dihentikan terus demi kebaikan semua pihak.

“Kalau pun kerajaan mahu teruskan perlombongan juga saya harap mereka (pemandu lori) akan ikut prosedur pengangkutan bauksit dengan betul seperti jangan bawa lori laju-laju dan sembur dahulu lori sebelum memulakan perjalanan.

“Cuba bayangkan kalau rumah saya ini rumah mereka (pemandu lori), mesti mereka marah juga,” katanya.

Manap mencadangkan agar pemimpin kerajaan turun padang mendengar pendapat penduduk kampung yang terlibat secara langsung dengan aktiviti bauksit ini sebelum mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu dalam menangani isu pencemaran alam sekitar akibat perlombongan bauksit di Kuantan.

“Kami (penduduk kampung) ingin mengetahui terlebih dahulu apakah SOP yang akan dikeluarkan nanti mampu memperbetulkan keadaan,” katanya.

PENIAGA GULUNG TIKAR KERANA DEBU

Pencemaran debu bauksit turut menjejaskan kelancaran perniagaan di sepanjang pinggir Jalan Kuantan-Kemaman, tidak jauh dari Kampung Selamat.

Anas Ahmad, 60, yang menjual pelbagai barangan termasuk pakaian terpakai dan aksesori peribadi di situ berkata semua barangan di kedainya diselaputi debu merah ekoran pencemaran yang disebabkan lori bauksit yang menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari tapak perlombongan bijih bauksit.

“Kedai saya menjual barangan berasaskan kain seperti pakaian dan beg jadi apabila terlekat debu merah bauksit itu memang susah nak hilang. Kalau lap pun hanya tahan setengah hari sahaja lepas itu berdebu kembali.

“Ini menyebabkan ramai pelanggan lari. Dulu ada orang luar Kuantan singgah ke kedai beli barangan sebagai cenderamata. Pendapatan pun agak lumayan sekitar RM200 hingga RM300 sehari tetapi sejak pertengahan tahun lepas ada hari yang memang tiada langsung pendapatan,” katanya.

Untuk itu Anas tiada pilihan selain terpaksa menutup kedainya setelah beroperasi selama dua tahun.

LAP DEBU SETIAP LIMA MINIT

Rakannya Muhamad Iskandar Johari, 37, yang memiliki sebuah kedai runcit bersebelahan dengan kedai Anas berkata sejak berlakunya pencemaran debu merah itu, hasil jualan kedainya merosot sebanyak 50 peratus.

“Ramai pekerja saya yang tidak tahan dengan debu dan berhenti mencari kerja di tempat lain. Mereka tidak sanggup mengelap barang-barang setiap lima minit. Orang ramai pun tidak mahu membeli barangan terutama makanan di kedai ini apabila mereka lihat banyak debu,” katanya.

Muhamad Iskandar berpendapat agak mustahil untuk menghentikan aktiviti perlombongan yang berterusan sejak beberapa tahun ini. Dalam hal ini beliau berharap pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih tegas dijalankan supaya aktiviti ini dapat dilakukan secara terkawal tanpa mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat setempat.

Berdasarkan kepada maklumatbalas yang diterima penulis, penduduk di kawasan terbabit menaruh harapan kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah menyelesaikan kemelut bauksit itu. Ini sekaligus memberi harapan kepada penduduk setempat untuk menikmati kehidupan seperti sedia kala.

Namun, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana pelbagai cabaran perlu ditempuhi untuk mencapai situasi saling menguntungkan bagi kesemua pihak berkepentingan.