KOTA BHARU, 3 Februari:

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata apa yang berlaku di Kedah menunjukkan wujud pergolakan dalaman yang serius di dalam Umno.

Katanya, gambaran itu bukan sahaja di Kedah tetapi juga mengambarkan kepada Umno di seluruh negara.

“Saya rasa perlantikan Menteri Besar (MB) yang baru, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak akan selesaikan masalah di Kedah.

“Saya juga percaya MB baru ini tidak akan dapat menjalankan tugasnya atau mentadbir dengan selesa walaupun selepas peletakkan jawatan oleh Mukhriz,” katanya ditemui media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata, beliau tidak tahu apa isu dalaman di Kedah tetapi percaya desakan meletakkan jawatan terhadap Mukhriz mungkin berpunca daripada tindakannya yang sering mengkritik Perdana Menteri berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta derma RM2.6 billion.

Ditanya adakah pergolakan Umno Kedah itu memberi peluang kepada Pas untuk merampas kembali Kedah, Mohd Amar hanya menjawab semua itu perlu menunggu sehingga pilihan raya.

Katanya, soal itu sebenarnya masih terlalu awal untuk dibincangkan walaupun Pas dilihat mempunyai peluang.