PUTRAJAYA, 3 Februari:

Duta Besar Malaysia ke Switzerland Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor meninggal dunia di Berne, Switzerland hari ini, demikian menurut Wisma Putra.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra hari ini, Mohd Zulkephli, 57, meninggal dunia pada 6.38 pagi waktu tempatan.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Anna Amalina Imam Baweh dan lima orang anak.

“Kedutaan Besar Malaysia di Berne dengan bantuan Perwakilan Tetap Malaysia di Geneva sedang dalam proses menguruskan jenazah Allahyarham untuk dibawa pulang ke Malaysia,” menurut Wisma Putra.

Mohd Zulkephli mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik sejak 1984.

Sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Switzerland, beliau pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan pada Julai 2012.

Mohd Zulkephli juga pernah memegang jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Libya dari 2009 hingga 2011 dan terlibat secara langsung dalam operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Libya.

Selain itu, Allahyarham pernah bertugas di beberapa perwakilan Malaysia seperti Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles dan Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di Geneva.

“Beliau adalah seorang pegawai berdedikasi dan komited dalam setiap tugas sepanjang perkhidmatan yang cemerlang di Kementerian Luar.

“Segala jasa dan khidmat yang ditaburkan Allahyarham demi agama, bangsa dan negara sepanjang 32 tahun akan sentiasa dikenang,” menurut Wisma Putra.