KUCHING, 3 Februari:

Semua mata kini menumpukan kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem membincangkan mengenai pilihan raya secara terperinci dengan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya pada Selasa.

Adenan yang kembali ke Kuching awal hari ini, enggan untuk mendedahkan secara terperinci mengenai perbincangan tetapi menjelaskan ia membabitkan perihal pilihan raya.

“Saya mengadakan pertemuan yang baik dengan PM malam tadi. Hanya itu yang saya boleh katakan sekarang,” kata Adenan ketika ditanya mengenai tarikh pembubaran DUN.

Persidangan ketika ini berakhir pada 20 Jun dan Sabtu lalu, Adenan mengumumkan tarikh 30 April sebagai cadangan tarikh mengundi dan 18 April sebagai tarikh pencalonan kepada lebih 700 ahli Parti Pesaka Bumiputera Besatu Sarawak di Santubong.

“Saya akan mengadakan sidang media apabila sampai waktunya. Buat masa ini, kamu (media) kena tunggu hari itu,” kata Adenan selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa antara Sarawak Energy Berhad dan Malaysian Phosphate Additives (Sarawak) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Pemerhati politik percaya tarikh pembubaran Sidang DUN akan diumumkan sekitar 20 Mac depan, sejurus selepas Sejiwa, Senada Sarawak 2016 di Mukah.

Acara pertunjukan bergerak kerajaan negeri itu bertujuan mendekati rakyat seluruh negeri dalam usaha pentadbiran negeri dalam mentadbir negeri ini.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Adenan memberitahu golongan perniagaan supaya meneruskan aktiviti perniagaan mereka di negeri ini, yang boleh membantu Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Kita akan 10 tahun ketinggalan negara lain kerana semua tertumpu kepada 2020, tetapi kita ingin realistik dalam sasaran kita,” kata Adenan.

Di bawah inisiatif Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak, negeri itu menarik pelaburan lebih daripada RM30 bilion, dengan 83 peratus daripada pelaburan dalam Samalaju Industrial Park di Bintulu.

“Penjawat awam tidak boleh terbabit dalam perniagaan dan kekal dalam pekerjaan teras mereka, mentadbir negeri ini. Biarkan sektor swasta melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan. Hanya selepas itu Sarawak akan terus berkembang,” kata Adenan