KUALA LUMPUR, 2 Februari:

Polis masih menunggu laporan daripada hospital dan jabatan Kimia berhubung kemalangan membabitkan tiga penganut Hindu yang maut di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, pada 23 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan pihaknya perlu mendapatkan laporan penuh daripada hospital dan Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut.

”Kami percaya laporan tersebut akan siap dalam masa terdekat kerana ini kes menarik dan pastinya setiap jabatan itu akan memberikan keutamaan,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas memperolehi laporan tersebut, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, suspek yang juga pemandu BMW merempuh enam penganut Hindu itu ditahan namun dibebaskan dengan jaminan polis selepas tiga hari direman.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, K Saravanan, 45, bersama dua rakan, C Kannan, 51, dan S Papa, 53, yang berjalan dari Seremban ke Batu Caves bagi menunaikan nazar sempena Thaipusam, maut dirempuh kereta yang dipandu suspek.

Tiga lagi rakan mereka, P Mageswaran, 40; D Darrshen, 18, dan seorang wanita, S Anjalai Devi, 44, cedera parah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk menerima rawatan.