KUALA LUMPUR, 2 Februari:

Pendirian pembangkang terhadap krisis Menteri Besar Kedah adalah antara perkara-perkara yang dimaklumkan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Bagaimanapun, ketika ditanya lanjut mengenai sebarang keputusan dibuat hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Mengkudu, Ahmad Yahya dari Pas berkata, dia tidak tahu menahu mengenainya, sambil menambah bahawa mereka ditanya beberapa soalan.

“Kita dari pembangkang ingin menyampaikan penghargaan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah kerana memberi kami peluang menyatakan pandangan kami.

“Kami mengambil pendirian bahawa kaedah yang digunakan dalam menukar Menteri Besar Kedah adalah cara yang tidak sepatutnya diguna pakai. Ia tidak demokratik.

“Jika dia diberi pilihan menggunakan cara yang sepatutnya, dia seharusnya diminta untuk melepaskan jawatannya dengan cara yang bertamadun,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan yang berlangsung di Wisma Darul Aman, dekat sini, hari ini.

Ahmad menambah lagi bahawa keputusan akhir adalah tertakluk kepada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai kaedah terbaik menukar Menteri Besar.

“Bagaimana ini akan berlaku, terpulang kepada mereka. Mungkin, usul undi tidak percaya boleh dibuat pada sidang yang bermula April ini, terpulang kepada mereka,” katanya.

Adun PKR-Lunas, Azman Nasrudin yang bersama Ahmad ketika ditemui pemberita menyuarakan sentimen yang sama.

“Kami memberikan kerjasama supaya krisis ini boleh diselesaikan segera. Kami cuma tidak setuju dengan cara penukaran Menteri Besar,” katanya.

Selepas pertemuan dengan Adun Barisan Nasional (BN) semalam, Jemaah Pemangku Sultan Kedah bertemu dengan 13 Adun pembangkang berhubung krisis Menteri Besar Kedah.

Adun Bn juga enggan mengulas mengenai hasil pertemuan yang diadakan dengan mereka.

Sudah dua minggu sejak Kedah berdepan krisis Menteri Besar, tetapi sehingga hari ini, tiada penyelesaian dibuat selepas 14 ketua Umno Kedah merayu Perdana Menteri menukar kepimpinan negeri itu.