KOTA KINABALU, 2 Februari 2016:

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan beliau cuba mengelak daripada memberi kenyataan berhubung isu telur penyu yang didakwa berlaku di Sandakan tahun lalu.

Beliau berkata, tiada pihak yang menghubungi atau menghantar surat untuk menyamannya berhubung kenyataan beliau sebelum ini, kata Sabri dan menambah beliau sebenarnya sedia untuk bercakap berhubung perkara itu.

Jabatan Hidupan Liar Sabah tidak pernah hubungi saya untuk mengambil kenyataan. Jadi, laporan berita (akhbar Sabah, The Daily Express) yang mendakwa saya cuba untuk mengelak daripada memberi kenyataan adalah tidak benar,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam Ulangtahun ke-50 Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini, malam tadi.

Beliau mendedahkan bahawa peguamnya sedang menyiapkan dokumen untuk menyaman ahkbar harian itu, malah katanya memberi kenyataan bukanlah satu masalah dan beliau sebelum ini pernah berdepan dengan situasi sebegini apabila dipanggil untuk memberi kenyataan di Bukit Aman, suatu ketika dahulu.

“Jadi, bagaimana sebuah akhbar boleh melaporkan di muka hadapan bahawa saya cuba mengelak? Ianya fitnah,” katanya.

Bersetuju dengan Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun bahawa tiada sesiapa pun termasuk pemimpin yang terkecuali daripada undang-undang, katanya, beliau juga perlu memberikan kenyataan.

“Untuk mengatakan saya cuba mengelak dan memberi banyak alasan adalah salah,” katanya.
Ahad lalu, The Daily Express melaporkan Ketua Umno Bahagian Beluran Datuk James Ratib telah memberi maklum balas kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah tetapi Ismail dan ADUN Kuala Penyu, Limus Jury belum menyatakan pendirian mereka.

Jury mengakui hadir pada majlis berkenaan tetapi katanya beliau ‘tidak terlibat secara langsung’.
November lalu, beberapa foto dimuat naik di Facebook Walai Penyu Resort Libaran memaparkan Ismail Sabri dan Ratib antara yang berada di restoran yang menghidangkan telur penyu dan udang kara.

Foto berkenaan dipercayai dirakam ketika majlis makan malam Umno Bahagian Beluran pada Ogos lalu di Restoran Indah Keranamu di Sandakan, Namun Ismail menafikan memakan telur berkenaan kerana tahap kolesterolnya yang tinggi.

Adalah menjadi satu kesalahan untuk mengambil atau memiliki telur penyu di Sabah.
Penyu dan produknya adalah di bawah perlindungan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah dan Seksyen 41 enakmen berkenaan menyatakan adalah menjadi satu kesalahan untuk memiliki haiwan ini atau produknya.

Pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.