KUALA LUMPUR, 2 Februari:

“Apa salahnya kasut saya buatan Gombak?, ujar seorang pemuda yang merasakan kekurangan dirinya kerana memakai kasut buatan Gombak.

“Tak salah… kasut buatan Gombakkan bagus”, jawab seorang wanita  sambil menunjukkan kasut yang dipakainya juga adalah buatan Gombak.

Mengingati dialog daripada iklan sempena hari kemerdekaan yang cukup menarik dan bermakna sekitar tahun 1998 itu, tidak dapat lari daripada membayangkan imej syarikat Petroliam Nasional Berhad atau Petronas.

Ia merupakan antara iklan televisyen terawal syarikat petroleum negara itu yang masih melekat dalam ingatan kita.

Iklan yang bertajuk Hero Tempatan (Local Hero) itu diterbitkan ketika negara bergelut dengan krisis kewangan. Ia membawa masej agar kita sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dimiliki dan beralih kepada produk tempatan.

Petronas memulakan iklan televisyen yang berjiwa Malaysia dengan menerapkan nilai-nilai murni yang cukup sinonim dengan masyarakat sejak tahun 1996.

Kini, setelah 20 tahun, syarikat petroleum negara itu tidak pernah gagal menghidangkan sesuatu yang sangat dekat dengan kita hingga kemunculannya sentiasa dinantikan terutama ketika sambutan hari kemerdekaan dan sambutan perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina mahupun Deepavali.

PAMERAN TANAHAIRKU

Kisah cinta Tan Hong Ming (Tan Hong Ming In Love), kanak-kanak yang meluahkan perasaan cinta kepada rakannya Ummi dalam temubual spontan di sekolahnya antara iklan televisyen yang cukup jujur dan menyentuh perasaan yang pernah dihasilkan Petronas.

Ia mengingatkan kita tentang ketulusan hati kanak-kanak dalam menjalin persahabatan tanpa mengira budaya dan keturunan.

Semua kisah biasa rakyat Malaysia yang sarat dengan masej perpaduan kini dihimpunkan di Galeri Petronas bagi mengimbau kembali liku-liku 20 tahun perjalanan Petronas menyatukan rakyat Malaysia.

Sebanyak 21 iklan musim perayaan yang sentiasa tersemat di ingatan rakyat Malaysia dipamerkan dalam pameran #Tanahairku yang diambil ilhamnya melalui puisi Sasterawaran Negara, Allahyarham Datuk Dr Usman Awang.

Enam tema dipilih bagi menyusuri perjalanan itu, iaitu Bangga Menjadi Rakyat Malaysia (Proud to be Malaysian), Perbezaan Kita Kekuatan Kita (Our Diversity Makes Us Beautiful), Apa Erti Hidup Tanpa Kasih Sayang, Persahabatan Yang Berkekalan, Kerana Kita Satu Sama Dipunyai dan Negaraku Kemajuan Dipacu Rakyat.

Setiap tema dipersembahkan dengan cara yang cukup kreatif dan interaktif dengan membawa pengunjung masuk ke dalam setiap penceritaan.

Seperti iklan Hero Tempatan, pengunjung boleh merasakan suasana dalam bas Intrakota dengan duduk di atas kerusi bas yang disediakan sepertimana dalam iklan itu.

Pengunjung diberi peluang mengintai suasana di belakang tabir iklan-iklan yang dipamerkan khususnya peralatan dan senario yang digunakan seperti suasana  di kedai kopitiam, di stesen bas, di tepi pantai, di ruang tamu rumah mahupun di bilik darjah.

SASARAN GOLONGAN MUDA

Menyasarkan golongan muda, pameran #Tanahairku turut membawa siri 10 hasil lukisan oleh 22 pelukis jalanan dari Johor, Sarawak dan Sabah yang merangkumi edisi ke-3 projek seni lukisan jalanan Petronas.

Menurut Pengarah Geleri Petronas Rosli A.Rahim, ia bermula pada tahun 2014 apabila Petronas cuba membawa lukisan jalanan dalam kalangan anak-anak muda  yang sering dikaitkan dengan sesuatu yang negatif ke arus perdana.

“Kita berikan sajak Usman Awang untuk mereka kaji dan kemudian menghasilkan lukisan jalanan berdasarkan sajak itu.

“Dari situ kita lihat anak-anak muda datang dengan pelbagai idea kreatif mengikut pemahaman mereka.

“Ini menunjukkan anak-anak muda hari ini sangat berbakat dan kita harus memberi peluang untuk mereka luahkan semangat perpaduan, rasa cinta kepada negara mengikut cara mereka,” katannya selepas pelancaran pameran #Tanahairku: Dua Dekad Menyemai Perpaduan Nasional baru-baru ini.

Petronas mahu menyediakan satu tempat untuk anak-anak muda hari ini berkarya mengikut cara mereka kerana zaman, keadaan dan persekitaran serta cara pemikiran generasi muda hari ini berbeza dengan generasi sebelum ini.

Bagi menggalakkan lebih ramai anak muda mengunjungi pameran yang diadakan, Petronas cuba mengubah persepsi anak muda terhadap galeri dengan menjadikannya lebih interaktif menggunakan ‘prop’ di samping lukisan yang dipamerkan.

“Nampak dengan cara sebegitu pengunjung muda lagi mudah untuk datang. Penerimaan mereka lebih luas terutama apabila kita membuka ruang untuk mereka mengambil gambar, memasukkannya dalam instagram dan media sosial lain.

“Tidak boleh lagi menggunakan kaedah lama dengan cahaya gelap dan sunyi untuk menghayati sesuatu lukisan dan sebagainya,” kata beliau.

RUANGAN SISI # TANAHAIRKU

Sejak melancarkan siri Tanahairku pada 2013, Galeri Petronas telah mewujudkan hashtag #Tanahairku di Instagram yang kini dimuatnaik lebih 20,000 gambar yang kebanyakannya diambil oleh golongan muda.

Hashtag itu diwujudkan sebagai platfom untuk meluah dan menunjukkan rasa cinta kepada negara mengikut cara yang mereka suka, katan Pengarah Geleri Petronas Rosli A.Rahim.

Beliau berharap hashtag# Tanahairku menjadi penggerak kesedaran untuk meninggkatkan rasa cinta kepada negara yang boleh menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Dalam media sosial hari ini, terlalu banyak sangat isu-isu yang boleh memecahbelahkan perpaduan negara. Kita mahu mewujudkan satu penggerak tentang perpaduan, keharmonian dan cinta kepada negara untuk sama-sama bersatu suara,” katanya yang berharap akan mencapai sasaran pengunjung seramai 20,000 orang ke pameran Tanahairku.

Pameran selama dua bulan itu bermula pada Disember 2015 dan akan berakhir Ahad ini (7 Februari). Dalam tempoh sebulan pameran, Galeri Petronas telah menerima 11,000 pengunjung.

Orang ramai boleh mengunjungi pameran itu yang dibuka secara percuma dari hari Selasa hingga Ahad dari pukul 10 pagi hingga 8 malam di Galeri Petronas, Aras 3, di Suria KLCC.