KUALA LUMPUR, 1 Febuari:

Jabatan Metereologi Malaysia menafikan dakwaan bahawa suhu minimum cuaca negara akan turun hingga ke paras 20 darjah celcius sepanjang Februari ini.

Jabatan itu dalam satu kenyataan media berkata, peningkatan suhu adalah selari dengan jangkaan awal apabila kesan El Nino yang menyebabkan peningkatan suhu antara 0.5 hingga 2.0 darjah celcius.

“Suhu bagi Malaysia yang beriklim tropika secara amnya antara 22 darjah celsius pada sebelah pagi, manakala 35 darjah celcius pada lewat petang.

“Secara amnya, suhu minimum bulan Januari 2016 didapati lebih panas dari biasa, antara 1-2 darjah celcius. Malah suhu terendah bulan Januari 2016 juga lebih tinggi dari rekod suhu terendah jangka panjang bagi Januari,” kata kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa negeri Perak dan Kelantan akan mengalami cuaca sejuk seperti di London kerana suhu di dua negeri terbabit dijangka turun sehingga 20 darjah celcius sepanjang Febuari ini.

Fenomena cuaca sejuk itu didakwa berlaku disebabkan angin sejuk dikawasan kutub utara yang terkumpul terlalu lama mengakibatkan laluan luruan angin.