KEPALA BATAS, 1 Februari:

Ketua-ketua Cawangan Umno Kedah disarankan untuk mengikut disiplin parti berhubung kemelut pertukaran Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata perkara berkenaan akan diuruskan oleh ketua-ketua Umno Bahagian.

“Sebagai Ketua Bahagian kita akan terangkan kepada ketua-ketua cawangan apa yang berlaku dan mengapa ianya berlaku.

“Ketua Cawangan kena tunggu dan yang pentingnya disiplin parti kena ikut, kena patuh pada pucuk pimpinan. Itu sahaja.

“Dan dalam hal ini, saya percaya ketua-ketua bahagian akan berjumpa dengan ketua-ketua cawangan untuk memaklumkan apa yang berlaku.

“Dan kami sebagai pemimpin, kami bertanggungjawab dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Kepala Batas hari ini.

Sebelum ini, terdapat sekumpulan Ketua-ketua cawangan menyusun gerakan menentang Ketua-ketua Bahagian Umno yang mendesak perletakan jawatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Gerakan itu didakwa terdiri daripada pemimpin akar umbi peringkat cawangan Umno di Kedah, dan merupakan tindak balas terhadap ‘pemberontakan’ 14 ketua bahagian mereka.

Mengulas lanjut, Tajol Urus berkata bahawa pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam membincangkan mengenai isu pertukaran MB yang dikatakan mengambil kira kebaikan buat Kedah dan juga Umno.

“Sudah pasti kami ada menyentuh soal isu Menteri Besar. Kami berbincang mengenai apa yang bagus untuk Kedah dan juga yang terbaik buat Umno. Itu sahaja.

“Dan dari itu sudah pasti akan ada pertukaran MB jika menyentuh soal apa yang baik untuk Kedah dan juga Umno,” tambahnya sambil enggan memberikan sebarang komen mengenai isu ‘Istana Murka’ terhadap isu pertukaran MB Kedah.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata bahawa pihaknya juga tidak dimaklumkan mengenai tujuan dipanggil menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah petang ini.

“Kalau boleh kita nak selesaikan isu ini secepat mungkin, kita tak nak berlarutan.

“Kita pun tidak tahu mengapa dipanggil, jadi kami semua akan ke sana pada jam 2.30 petang,” katanya yang juga ditemui di Lapangan Terbang Kepala Batas setibanya dari Kuala Lumpur.

ahmad bashah
Ahmad Bashah ketika ditemui di Lapangan Terbang Kepala Batas setibanya dari Kuala Lumpur. Foto TRP/ Adib Hakim

Tegas beliau, pihaknya bersama yang lain masih tetap bertegas dengan pendirian untuk menukar kepimpinan negeri itu yang kini dipegang Mukhriz.

Susulan itu, perjumpaan bersama PM semalam adalah bagi menjelaskan perkara tersebut dan tidak akan berganjak dari pendirian mereka.

“Semua 19 Adun termasuk seorang Speaker, jadi pertemuan semalam melibatkan 20 orang.

“Pendirian kami masih sama, dan kami akan akur dengan apa juga keputusan Perdana Menteri,” tambah beliau yang juga Adun Bakar Bata.

Kemelut MB Kedah sehingga ke hari ini masih belum menemui jalan penyelesaian.

Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan menilai penjelasan daripada Adun-adun Kedah berhubung desakan menggantikan Mukhriz selaku MB dan juga Pengerusi Perhubungan Umno Kedah.

Penilaian itu dipercayai dibuat ekoran keengganan Mukhriz untuk melepaskan jawatannya di negeri terbabit.