PASIR PUTEH, 1 Februari:

Ketua Penerangan Umno yang baru dilantik, Tan Sri Annuar Musa percaya isu pertukaran Menteri Besar Kedah yang heboh sekarang ini tidak memungkinkan negeri terbabit jatuh kepada pembangkang, khususnya Pas yang sebelum ini pernah diperintah mereka.

Beliau juga percaya itu hanyalah spekulasi kerana isu pertukaran itu juga mungkin akan menjadikan Umno Kedah lebih kukuh.

“Apa yang sudah dilaporkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi termasuk aduan daripada Ketua-Ketua Bahagian, Adun sudah disuarakan kepada Perdana Menteri.

“Soal mengantikan ataupun tidak terserah kepada pihak pimpinan. Apa yang saya ketahui proses berjalan dengan tertib dan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah,” katanya ditemui selepas pelancaran bot menjelang KHADAM di Tok Bali, di sini, hari ini.

Annuar menjelaskan proses berkenaan tiada sebarang masalah kerana di Kedah ada Yang Dipertuan Agong serta Jemaah Pemangku Agong.

“Saya fikir tidak ada apa yang luar biasa dan PM juga sudah mengambil langkah perundingan dan kita semua sepakat.

“Spekulasi Kedah jatuh ke tangan Pas tidak benar malah saya berpendapat pertukaran ini kemungkinan akan mengeluarkan lagi Umno Kedah. Macam bukit lah..kalau tengok dari jauh tidak sama dengan jika dilihat dari dekat.

“Kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di Kedah dan hanya orang Kedah sahaja yang lebih mengetahui…saya rasa tiada masalah sebab kita semua kawan-kawan juga,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Dalam perkembangan sama, Annuar berkata beliau sebenarnya masih terkejut dengan perlantikannya sebagai Ketua Penerangan Umno mengantikan Datuk Ahmad Maslan seperti yang diumumkan, baru baru ini.

Katanya untuk menjalankan tugas berat ini dia memerlukan bantuan banyak pihak termasuk meminta pandangan daripada Ketua Penerangan terdahulu serta Menteri Penerangan sendiri.

“Saya perlu menyediakan rangka kerja saya sendiri untuk laksanakan tugas kerana amanat yang diberikan ini amat berat di saat senario politik sekarang yang amat berbeza.

“Saya mengaku saya `kepunyaan generasi terdahulu’ dan dalam menjalankan tugas baru ini saya perlu membuat banyak kajian. Saya tidak mahu sebarang kenyataan saya akan diputar belitkan,” katanya.

Katanya, yang paling penting adalah apa sahaja masalah rakyat jangan diperlekehkan dan memerlukan jalan penyelesaian dan bukannya memberi alasan.