KUALA LUMPUR, 1 Februari:

Pas menginginkan krisis Menteri Besar (MB) Kedah diselesaikan secepat mungkin secara demokrasi.

Menurut parti itu, krisis berkenaan perlu ditentukan melalui sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memutuskan siapa yang layak menduduki kedudukan tersebut.

Dengan membacakan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keadaan itu merupakan kaedah yang paling demokratik dengan membawa suara rakyat.

“Pas menggesa agar masalah ini diselesaikan segera oleh kepimpinan Kedah dengan cara yang demokrasi.

“Pas berpegang kepada undang-undang dan prinsip demokrasi dalam menyelesaikan apa juga masalah melibatkan negeri mahupun negara,” katanya yang juga Timbalan Presiden Pas membaca kenyataan tersebut di dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Abdul Hadi tidak hadir sama di sidang media berkenaan susulan pertemuan yang diadakan bersama kepimpinan Pas yang diadakan hari ini.

Turut hadir di dalam sidang media berkenaan ialah Pengarah Pilihan Raya Pas, Mustafa Ali yang berkata bahawa jawatan MB yang dipegang Mukhriz adalah selepas mendapat kepercayaan dan kehendak majoriti.

“Dan majoriti itu hadirnya adalah melalui DUN,” katanya.

Pimpinan Umno Kedah kini sedang di dalam usaha menyingkirkan MB Kedah, Mukhriz.

Hari ini, Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan bertemu dengan Adun-adun Kedah bagi menyelesaikan krisis yang melanda negeri tersebut.