KUALA LUMPUR, 1 Febuari:

Kenyataan mengenai agama Kristian oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah merujuk kepada realiti senario di seluruh dunia dan bukan menghina agama terbabit, jelas Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kadang-kadang sumbangan yang digunakan oleh parti-parti politik adalah untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat luar bandar. BR1M juga digunakan untuk politik, maka ini bukan satu penghinaan kepada orang beragama Kristian.

“Saya rasa isu ini jelas dan bukan isu besar,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, semasa sidang media di ibu pejabat Pas hari ini.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, mubaligh Kristian menyebarkan ajaran mereka di Afrika dan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak setelah ditolak oleh golongan berpendidikan di negara-negara Barat.

Presiden Pas berkata, mubaligh Kristian cuba memerangkap sasaran mereka dengan menggunakan wang dan lain-lain bentuk bantuan.

Bagaimanapun, kenyataan itu telah menyebabkan penganut agama Kristian mengharamkan Abdul Hadi memasuki negeri Sarawak.

Apabila ditanya jika kenyataan itu akan menjejaskan peluang Pas di negeri itu pada pilihan raya akan datang, Pengarah Pilihanraya Pas, Mustafa Ali berkata, rakyat tidak begitu menyedari tentang perkara ini.

“Kami telah memeriksa perkara ini dan isu itu sengaja ditimbulkan kerana pilihan raya akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Pilihanraya negeri Sarawak (PRN), Mustafa berkata, dengan mempunyai 11 calon yang bertanding, mereka mengakui bahawa tidak semua kerusi boleh dimenangi.

Namun mereka yakin mampu memenangi satu atau dua kerusi, katanya.