JOHOR BARU, 1 Februari:

Jabatan Pengangkutan Jalan Johor (JPJ) akan mengambil tindakan tegas terhadap kenderaan klon dan sindiket yang membawanya masuk ke negara ini.

Ini susulan kes terdahulu yang mendedahkan bahawa Johor adalah antara satu daripada tujuh negeri yang mencatatkan peratusan kenderaan klon tertinggi.

Negeri lain adalah Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Selangor dan Kedah.

Pengarah JPJ Johor, Mohd Rusli Mohd Darus, berkata unit penguatkuasaan jabatan itu akan mengendalikan operasi harian di negeri terbabit bagi mengesan dan mengkap mereka yang menggunakan kenderaan klon.

“Operasi adalah berdasarkan pelbagai maklumat dan data yang diterima mengenai kenderaan yang sudah diisytiharkan sebagai total loss (kerosakan penuh) oleh syarikat insurans.

“Di Johor, sindiket yang membawa masuk kenderaan secara haram, terutama dari negara jiran, yang melanggar syarat Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mohd Rusdi berkata demikian pada majlis pelancaran operasi Tahun Baru Cina peringkat negeri bagi tahun ini yang akan melibatkan anggota penguatkuasa JPJ di Stesen Bas Handal Indah di Zon Perindustrian Tebrau, di sini, hari ini.

Kenderaan klon, terutama kenderaan mewah seperti Mercedes-Benz, BMW, Honda, Toyota, Audi, Subaru dan Mini Cooper, menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

Bagi Johor, kemasukan utama kenderaan yang tidak berdaftar ini dipercayai dari Singapura.

Kenderaan, termasuk motosikal berkuasa tinggi, selalunya dianggap untuk dieksport ke negara membangun atau sijil pemilikan luput untuk tempoh 10 tahun.

Mohd Rusdi berkata, kenderaan klon selalunya akan menggunakan data kenderaan rosak sepenuhnya sedia ada dengan nombor pendaftaran, warna serta jenis kenderaan yang sama bagi mengelakkan dikesan.

jpj johor2
Pengarah JPJ Johor, Mohd Rusli Mohd Darus menunjukkan statistik dan berkata unit penguatkuasaan jabatan akan mengendalikan operasi harian di negeri itu bagi mengesan dan menangkap mereka yang menggunakan kenderaan klon. Foto TRP/ Ben Tan

“Bagaimanapun, kita mempunyai cara sendiri bagi mengesan kenderaan itu diklon menerusi nombor chasis kenderaan, nombor pendaftaran dan pemeriksaan menerusi pengkalan data jabatan, My Sikap JPJ.”

Mohd Rusli berkata, kaedah itu adalah sistematik dan mereka yang disyaki memandu kenderaan diklon akan diheret untuk siasatan lanjut ke pejabat JPJ yang berhampiran.

Beliau berkata, jika didapati bersalah, kenderaan mereka boleh disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan kenderaan palsu.

“Hukuman tambahan oleh jabatan termasuk juga dalam Seksyen 7 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan kenderaan tidak berdaftar, Seksyen 108 Akta yang sama kerana memaparkan nombor pendaftaran dan lesen palsu,” kata Mohd Rusli.

Bagi negeri Johor, sejak Januari tahun lalu sehingga tahun ini, JPJ negeri sudah merampas 98 kenderaan klon.

Kenderaan itu ditahan di lapan daerah dan daerah kecil di negeri ini dengan Kluang mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 48.

Ini diikuti Johor Baru (17), Kesang (10), Muar (7), Tenang (6), Jemaluang (5), Sri Gading (3) dan Pontian (2).