KOTA KINABALU, 1 Febuari:

Kementerian Pelancongan, Alam Sekitar dan Kebudayaan Sabah sedang mempertimbangkan keputusan mengenakan cukai terhadap hotel bertaraf tiga bintang dan ke atas bagi menangani isu-isu alam sekitar di negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, cadangan itu masih di peringkat perbincangan, sambil menambah bahawa hanya bayaran minimum akan dikenakan untuk tidak membebankan pengusaha hotel.

“Kami mungkin memanggilnya sebagai Cukai Alam Sekitar, dan wang itu akan dimasukkan ke dalam tabung amanah telus untuk menguruskan pelupusan sampah atau kerja-kerja perlindungan alam sekitar yang lebih baik,” katanya, ketika berucap selepas melancarkan penerbangan sulung Rayani Air ke Sabah, hari ini.

Akhir-akhir ini, Masidi berkata terdapat aduan daripada orang ramai mengenai kebersihan bandar-bandar di negeri ini dan perkara itu juga telah dibangkitkan semasa mesyuarat Kabinet Kerajaan Negeri menggesa penyelesaian segera terhadap masalah yang semakin parah.

“Kami membincangkan secara khusus mengenai kawasan kotor di bandar, termasuk sungai-sungai, laut dan longkang pada mesyuarat Kabinet Negeri, dan kami telah ditugaskan untuk mengendalikan perkara itu.

“Kementerian telah menubuhkan jawatankuasa kecil untuk mengkaji isu ini dan kami memerlukan bantuan dari Kerajaan dan Kementerian Perumahan Tempatan, khususnya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, untuk menyelesaikan isu ini,” kata beliau sambil menambah perlantikan baru Datuk Bandar, Datuk Yeo Boon Hai bakal memikul tugas berat dengan cabaran yang mendatang, terutama mengenai isu persekitaran.

Beliau berkata, seperti mana kebimbangan terhadap isu alam sekitar, kini adalah masa yang sesuai untuk mengambil tindakan berani sebelum masalah sampah menjadi lebih teruk.

“Pelancong datang ke Sabah kerana mereka suka persekitaran di sini, tetapi saya bimbang jika kita tidak mengatasi isu-isu semasa, kita akan kehilangan mereka dan seterusnya akan menjejaskan industri pelancongan kita, yang merupakan salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negeri,” katanya.