KUALA LUMPUR, 31 Januari:

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini meluahkan perasaannya mengenai kemelut politik jawatan di negeri itu secara simbolik di Instagramnya.

Beliau memuat naik gambar bendera Kedah yang kelihatan koyak ditiup angin dengan kapsyen #savekedah.

Mesej tersebut memberi gambaran seolah-olah spekulasi mengenai masa depannya sebagai Menteri Besar akan sampai ke penghujungnya.

Majoriti pengikut Instagramnya menyatakan sokongan terhadap anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Pengguna Instagram, Sophess berkata “Rakyat Kedah tak mahu tukar pemimpin tapi kenapa kehendak mereka tak didengari. Mereka berkhidmat untuk siapa sekarang?”

Malah, Syudded pula berkata “Saya sentiasa menyokong Dato. Andai Dato jatuh. Usahlah Dato risau. kami rakyat Kedah sentiasa di belakang Dato.

Irjiwakacau berkata, “Kami belia akan sentiasa menyokong Mukhriz Mahathir.”

Posting yang dimuat naik lebih sejam lalu mendapat 1,220 likes dan tidak lebih 60 komen di Instagram.

Terdahulu krisis kepimpinan Umno Kedah tercetus apabila Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengetuai 14 delegasi ketua-ketua bahagian, negeri dan penggubal undang-undang persekutuan untuk menyatakan kehilangan keyakinan mereka terhadap Mukhriz.