ALOR SETAR, 31 Januari:

“Mereka tidak bertanggungjawab.”

Itu kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung tindakan 12 Ketua Bahagian dan dua Tinbalan Ketua Bahagian mengheret sama ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam Umno bagi mengadakan sidang media mendesaknya berundur dari jawatan, pada 20 Januari lalu.

Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata perbuatan kumpulan tersebut dianggap mencemar acara sambutan Ulangtahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang ke-88.

Malah katanya, sebilangan yang hadir pada sidang media tersebut dimaklumkan tidak mengetahui tujuan dan intipati kenyataan yang dibuat walaupun mempercayai desakan tersebut tidak mewakili suara majoriti ahli Umno dan kehendak rakyat Kedah.

“Saya telah menerima khabar sesungguhnya Duli Tuanku Sultan dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.

“Turut mendukacitakan, rentetan dari sidang media tersebut, enam daripada sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak menghadiri Mesyuarat Exco negeri pada Rabu lalu.

“Yang lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa ahli Exco negeri yang sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintah ketika mengangkat sumpah jawatan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mukhriz berkata sebagai ahli Exco negeri, keengganan menghadiri Mesyuarat Exco menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang telah diatur oleh Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

Katanya, ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai Penjawat Awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

“Saya dimaklumkan bahawa Sultan Kedah dan pihak Istana Kedah turut murka dengan keingkaran ahli-ahli Exco berkenaan.

“Saya dengan rasa rendah diri memohon ampun kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah di atas perbuatan segelintir ahli Umno yang telah mencemari kemuliaan Duli Tuanku Sultan dan kemerian majlis sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Maha Mulia Sultan Kedah.

“Saya mendesak agar kesemua 14 Ketua Umno Bahagian yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan sidang media pada 20 Januari lalu dan enam orang ahli Exco negeri yang tidak hadir Mesyuarat Exco pada 27 Januari lalu segara memohon maaf secara rasmi kepada Sultan Kedah,” jelasnya.

Ujarnya, sehingga kemelut ini selesai, semestinya setiap ahli Exco negeri dan ADUN melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat baginda, seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh negeri.