KUALA LUMPUR, 30 Januari:

1Malaysia Development Berhad (1MDB) menegaskan, tiada pihak berkuasa asing yang menghubunginya mengenai sebarang perkara berkaitan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Ia susulan laporan berita berhubung satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Peguam Negara di Switzerland, semalam, berhubung satu siasatan yang masih dijalankan.

“1MDB kekal komited untuk memberi kerjasama penuh dengan mana-mana pihak berkuasa undang-undang dan siasatan, bergantung kepada nasihat pihak berkuasa tempatan berkaitan dan mengikut protokol antarabangsa berhubung perkara sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan, Peguam Negara Switzerland dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka mengesyaki ada penggelapan wang sebanyak USD4 bilion daripada 1MDB yang dipindahkan ke akaun-akaun Bank Swiss.

Pejabat Peguam Negara itu berkata, ia memohon bantuan Malaysia sebagai sebahagian daripada prosiding jenayah yang dibuka pada 14 Ogos tahun lalu, terhadap dua bekas pegawai 1MDB dan juga individu-individu tidak dikenali.

Siasatan itu dikatakan mengenai pegawai-pegawai awam asing disyaki merasuah, salah laku di pejabat awam, penggubahan wang dan salah urus jenayah.

“Jumlah yang disyaki disalahgunakan adalah sekitar USD4 bilion,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, tujuan yang dimaksudkan adalah subjek siasatan lanjut.

Menurutnya, sebahagian kecil wang itu dikenal pasti dipindahkan ke akaun-akaun di Switzerland oleh pelbagai bekas pegawai awam di Malaysia serta bekas dan pegawai awam dari Emiriyah Arab Bersatu.