KUALA LUMPUR, 30 Januari:

Seorang peniaga di Bandar Sunway cedera diserang dua suspek, gara-gara 12 bungkus Milo.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata, peniaga itu sedang menjaga kedainya bersendirian, apabila dua lelaki menyerangnya, kerana cuba menghalang mereka mencuri Milo.

“Suspek-suspek itu menjadi ganas dan menyerang pemilik kedai warga Bangladesh itu, apabila dia cuba menghalang mereka daripada meninggalkan kedainya, selepas mencuri 12 bungkus Milo,” katanya yang dipetik akhbar The Star, hari ini.

Jelasnya, dua suspek itu memasuki kedai terbabit sekitar jam 7.15 malam Rabu lalu dan cuba menyembunyikan 12 bungkus Milo yang dicuri itu dalam beg sandang mereka.

Pemilik kedai itu dilaporkan cedera di bahagian kepala, akibat dipukul dengan sebatang tukul.

Seorang daripada suspek itu berjaya ditangkap orang ramai, ketika mereka keluar dari kedai terbabit, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri.