KUALA LUMPUR, 30 Januari:

Bayangkan manusia hidup tanpa buku, pasti bayangan kita menggambarkan tentang negara-negara dunia ketiga yang miskin.

Tetapi di Sentul, yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, ada di kalangan keluarga tidak mempunyai buku kanak-kanak di rumah disebabkan tidak mampu membeli walau sebuah buku pun.

Dalam usaha menggalakkan celik huruf di kalangan kanak-kanak dari golongan miskin bandar, Borders Bookstores Malaysia memikul usaha menganjurkan ‘Book Drive Campaign’ baru-baru ini.

Buku-buku dan hadiah yang dikumpul dalam kempen tersebut didermakan kepada HOPE Worldwide Malaysia, sebuah pertubuhan amal antarabangsa yang memberi tumpuan kepada kesihatan, pemakanan dan pendidikan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik di Malaysia.

Para pelanggan mengambil bahagian dengan memilih dan membeli buku-buku atau hadiah dari mana-mana kedai buku Borders yang ingin mereka derma.

Kemudian, barangan yang mereka beli diletakkan di satu sudut khas, di mana semua hasil derma barang dilihat menimbun seperti pokok Krismas.

Penolong Pengurus Pemasaran Borders Malaysia, Edison Ho berkata kempen ini dijalankan pada musim perayaan Krismas tahun lalu.

“Pada musim Krismas, kita sering bergegas ke kedai-kedai buku untuk membeli hadiah bagi orang tersayang.

“Musim Krismas, kami berharap dapat mengambil kesempatan ini, untuk menggalakkan pelanggan-pelanggan kami dalam mengingati masyarakat yang kurang bernasib baik,” katanya.

Bagi Pengarah Eksekutif HOPE Worldwide Malaysia, Katy Lee, berkata usaha yang dilakukan kedai buku terbabit sangat dihargai melalui kempen yang dijalankan dengan jayanya.

“Tabiat membaca adalah sesuatu yang boleh kita pupuk untuk anak-anak, dan kemudiannya dengan membaca akan mengubah kehidupan mereka.

“Pendidikan juga merupakan antara fokus utama di dalam organisasi kami,” katanya sambil menambah bahawa buku-buku harus dilihat sebagai satu keperluan di samping akses kepada makanan, penjagaan kesihatan dan tempat tinggal.

Buku-buku dan hadiah yang dikumpul akan diletakkan di perpustakaan komuniti Persatuan Kebajikan HOPE Worldwide Kuala Lumpur di Sentul.

Kanak-kanak akan datang dan mengambil buku tersebut untuk dibaca selepas waktu sekolah atau pada hujung minggu.

HOPE Worldwide Malaysia juga menganjurkan program pendidikan seperti Program Membaca setiap Sabtu, yang tujuannya adalah untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik untuk belajar dan bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Untuk maklumat mengenai cara menjadi sukarelawan, sila layari www.hopeww.org.my atau hubungi Lee di 016-2273913.