ARAU, 30 Januari:

Ahli-ahli Umno, khususnya kepimpinan Kedah wajar menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi dan Presiden, Datuk Seri Najib Razak untuk menyelesaikan kemelut Menteri Besar Kedah.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata: “Mohd Najib sudah menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah. Jadi, kita tunggulah perkembangannya.”

Katanya, kemelut itu yang berpunca daripada kepimpinan Umno Kedah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, adalah isu dalaman parti.

“Kita boleh mengharapkan isu ini diselesaikan sebaiknya secara bijak. Kalau ada kekurangan, kena perbaiki dan diperbetulkan…jangan salahkan orang lain. Kita sewajarnya rela, apabila ditegur.

“Kalau rakyat menghukum kita (pemimpin), tuduh dan sebagainya, jangan salahkan rakyat, tapi salahkan diri sendiri, kerana kita tidak turun bagi penjelasan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 489 penerima Cina di kawasan Parlimen Arau, sempena Tahun Baru Cina, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob.