PUTRAJAYA, 29 Januari:

Serpihan pesawat yang dijumpai di pantai Besut, Terengganu bukan serpihan pesawat MH370.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebuah pasukan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airlines telah membuat pemeriksaan, bagi menentukan asal serpihan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, serpihan tidak sepadan dengan pesawat Boeing 777, dengan itu mengesahkan serpihan tersebut bukan daripada MH370,” kata
beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada pihak berkuasa berkaitan, kerana
membantu dalam proses pengecaman itu.

“Kami terus komited kepada usaha mencari MH370 dan akan terus memaklumkan  kepada waris keluarga serta orang ramai mengenai apa-apa perkembangan terkini,” katanya.

Penemuan objek dipercayai serpihan pesawat di pantai Beting Lintang, Besut, Rabu lalu, menimbulkan spekulasi ia mungkin ada kaitan dengan   pesawat MH370 Malaysia Airlines yang hilang hampir dua tahun lalu.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac 2014, semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.