KUALA LUMPUR, 29 Januari:

Sarawak bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11), 30 April ini.

BH Online melaporkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak mengumumkan 18 April sebagai tarikh penamaan calon.

Adenan mengumumkan kedua-dua tarikh itu dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Persiapan Menghadapi PRN11 Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, di sini, sebentar tadi.

“Tiada gunanya kita berselindung (mengenai tarikh pilihan raya) dan membiarkannya menjadi spekulasi. Kita (BN) sudah bersiap sedia untuk menghadapinya.

“Yang penting, jentera kita, khususnya dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu digerakkan hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan sokongan berterusan terhadap BN,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden PBB tidak menyatakan bila tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok dan Timbalan Presiden PBB.