KOTA BHARU, 29 Januari:

PKR bertegas mahu mengukuhkan hubungan dalam Pakatan Harapan (PH) dan dalam masa yang sama mengekalkan tahaluf siyasi dengan Pas.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini dapat memberi ruang cukup baik bagi parti itu dalam hubungan antara parti politik yang berpegang kepada semangat agenda reformasi untuk bawa perubahan dalam sistem pemerintahan negara.

“Saya ingin tegaskan kita ingin kukuhkan hubungan dengan parti dalam PH iaitu DAP dan Amanah.

“Pada masa sama mengekalkan kerjasama dalam PR bersama Pas,” katanya ditemui media selepas Majlis Amanat Pimpinan Pusat di sini hari ini.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Azmin berkata pihaknya ada melakukan perbincangan dengan Pas dan difahamkan sudah ada satu kata muafakat sudah dipersetujui.

“Kita harus mengetahui hakikat pada PRN lalu Pas bertanding enam kerusi dan pertemuan itu kita telah membincangkan kedudukan kerusi yang akan dipersetujui secara bersama.

“Dan sudah tentu kita perlu berbincang dengan PH kerana prinsip kita kekalkan prinsip ‘satu lawan satu’ pada PRU akan datang,” katanya.

Menurutnya semua pertindihan perlu diselesaikan dan harap dapat diselesaikan lebh awal sebab persediaan perlu dibuat kerana khususnya Sarawak sebuah negeri yang luas.

Bagaimanapun, katanya, seperti mana PRU lalu, rundingan mengambil masa tetapi diyakini dengan kebijaksanaan semua parti politik yang ada ianya dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kita sudah berbincang beberapa kali tetapi belum dimuktamadkan lagi dan. Kita akan memaklumkan apabila tiba masa yang sesuai,” katanya yang dijadual berangkat ke Sarawak bersama Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, esok.