KUALA LUMPUR, 29 Januari:

Jemaah Pemangku Sultan Kedah tidak menolak cadangan nama calon Menteri Besar Kedah bagi menggantikan Datuk Mukhriz Mahathir.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau telah mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada pagi Jumaat dan majlis tersebut berjalan dengan lancar.

“Saya memaklumkan kepada Majlis Tertinggi bahawa saya telah mengadap Pengerusi Jemaah Diraja pada pagi tadi dan saya telah sembah maklum akan beberapa cadangan atas nama pihak Umno dan perkembangan selanjutnya akan dilanjutkan.

“Tidak betul (cadangan nama ditolak). Nanti saya maklumkan, tidak ada penolakan. Dalam majlis itu berjalan dengan baik,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini.

Ketika ditanya sama ada beliau sudah terlebih dahulu dimaklumkan mengenai krisis Kedah, Najib memberitahu perkara itu diputus Ketua-ketua Bahagian Umno Kedah.

“Kita dengar ada masalah tetapi ini diputuskan oleh 14 Ketua-ketua Bahagian.

“Sebagai Presiden parti, saya kena ambil maklum dan beri pertimbangan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut hadir dalam sidang media menjelaskan mengenai arahan supaya Datuk Seri Mukhriz Mahathir keluar dari mesyuarat.

“Tidak timbul dia (Mukhriz) tidak hadir sebab dia ahli MT turut hadir. Kalau MT putuskan tidak payah datang, tidak payahlah datang itu sahaja.

“Saya sudah beritahu dia melalui telefon pagi tadi,” kata Tengku Adnan.