KUALA LUMPUR, 29 Januari:

Tiga nama calon Menteri Besar Kedah dipercayai dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah dalam pertemuan di Istana Darul Aman, di sini pagi tadi.

Menurut sumber yang dipetik BH Online, tiga calon tersebut adalah ADUN Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail; ADUN Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan ADUN Bayu, Datuk Azmi Che Husin.

Bagaimanapun, nama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang juga ADUN Bakar Bata dikatakan tidak tersenarai.

Dr Ku Abd Rahman adalah Exco Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, manakala Mohd Rawi adalah Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya serta Azmi adalah Timbalan Speaker Dewan DUN Kedah.

Berdasarkan tiga nama itu, Dr Ku Abd Rahman dilihat berpotensi untuk dilantik berdasarkan latar belakangnya selain menjadi Exco paling kanan dalam barisan kepemimpinan kerajaan negeri.

Difahamkan, 21 ADUN Barisan Nasional (BN) Kedah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri pada Selasa lalu di Putrajaya.

Pada 20 Januari lalu, Ahmad Bashah bersama 14 Ketua Bahagian mengadakan sidang media meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berundur daripada jawatannya selepas majoriti daripada mereka hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap beliau yang juga Pengerusi Umno Kedah.