PUTRAJAYA, 29 Januari:

Kementerian Luar Negeri ingin mengesahkan bahawa seorang pelajar Malaysia, Uthaya Kumar A/L K. Selvaraj telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Chitradurga, Karnataka, India pada 27 Januari 2016.

Mendiang Uthaya Kumar A/L K. Selvaraj yang merupakan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) di Melaka Manipal Medical College (MMMC) – Manipal Campus di tahun ketiga meninggal dunia apabila motosikal yang diboncengnya terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah bas antara jam 11.00 malam ke 12.00 tengah malam di Chitradurga, kira-kira 600 km barat dari Chennai.

Mendiang telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kerajaan Chitradurga.

Pegawai Konsular dan Pegawai JPA dari Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai dalam perjalanan ke Hospital Kerajaan Chitradurga untuk melawat dan menguruskan jenazah.

Kementerian Luar Negeri dan Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Uthaya Kumar A/L K. Selvaraj dan bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada keluarga mendiang.