KUALA LUMPUR, 28 Januari:

Syarikat berkaitan kerajaan, UDA Holdings Bhd mengalu-alukan keputusan kerajaan menetapkan semua penjualan rumah berharga sehingga RM300,000, terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.

Menurut Pengerusinya, Datuk Shafie Abdullah, pengumuman Pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini, adalah satu langkah cukup baik, bagi memastikan rakyat mampu memiliki rumah.

“Saya punya pandangan, benda ini merupakan perkara yang cukup baik. Sebab banyak orang, walaupun dalam keadaan ekonomi agak perlahan perkembangannya, tetapi kuasa beli untuk rumah RM300,000 ini masih tinggi.

“Jadi, kalau kita buka kepada semua, ada kemungkinan akhirnya orang yang baru nak beli rumah pertama ini akan tertinggal. Jadi, bila PM beri isyarat hanya untuk mereka yang ingin memiliki rumah pertama, ini adalah bagus.

“Saya percaya kerajaan sudah kaji berapa ramai yang mempunyai kewangan atau skim gaji secukupnya yang belum ada rumah. Jadi, keutamaan itu kita perlu beri kepada yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Ketika mengumumkan Pengubahsuaian Bajet 2016, Najib memaklumkan, ia berkuat kuasa serta-merta ke atas projek perumahan baru dan semua rumah berharga sehingga RM300,000 terhad kepada pembeli rumah pertama.

Pada masa sama, kerajaan juga akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, merangkumi rumah yang ditawarkan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), agensi-agensi serta sektor swasta.

Melalui program itu, lebih 100,000 unit rumah akan ditawarkan.

Bagi Projek Perumahan Rakyat berharga RM35,000, Najib berkata, kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat, akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar 4 peratus, dengan dana berjumlah RM400 juta, bermula 1 Mac ini.

Inisiatif itu akan memanfaatkan lebih 10 ribu pemilik rumah.

Menurut Shafie lagi, UDA Holdings tidak ketinggalan dalam perkara itu, di mana syarikat terbabit bakal melancarkan rumah mampu milik kepada rakyat pada April nanti.

“Kita di Kampung Baru memang sudah ada, ada rumah mampu milik yang mana jangkaannya kita akan lancarkan pada April. Dan kita merangka untuk banyak lagi dan kita sedang melihat tanah-tanah yang boleh dibangunkan.

“Kita menawarkan dengan harga RM300,000 di Kampung Baru dan memang itu dalam perancangan.

“Ini lebih kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami dan permintaan kepada rumah mampu milik dengan harga sedemikian memang tinggi, khususnya di Kuala Lumpur ini,” tambahnya yang juga Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju.