KUALA LUMPUR, 28 Januari 2016:

Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 hingga Disember 2017.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Namun katanya, caruman bagi pihak majikan tetap dikekalkan seperti sebelum ini.

“Langkah ini, dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga RM8 bilion setahun,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan turut akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak RM2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan 8 ribu ringgit sebulan ke bawah, untuk tahun taksiran 2015.

“Dengan langkah ini, walaupun Kerajaan akan kehilangan hasil sebanyak RM350 juta, namun, ianya dapat memberi penjimatan bayaran cukai individu sehingga RM475 ringgit.

“Khabar gembira ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pembayar cukai,” katanya.