BACHOK, 28 Januari:

Tiga pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) wanita berusia 30an bertindak melarikan kira-kira jam 3.30 pagi tadi dengan memanjat pagar.

Difahamkan, kesemua mereka bertindak demikian selepas memukul kepala dan menjerut leher seorang pengawal keselamatan yang sedang berkawal.

Menurut pengawal keselamatan yang bertugas, dia hanya merasakan kepalanya diketuk daripada arah belakang.

Katanya, sebaik diketuk dia terasa lehernya dijerut dipercayai dengan menggunakan kain cadar.

Pengawal yang enggan dikenali itu menjelaskan berlaku pergelutan seketika sebelum dia bertindak melepaskan diri dan memanggil rakan lain untuk membantu.

“Ketika menyelamatkan diri saya sempat melihat ketiga-tiga pelatih itu memanjat pagar dan berlari keluar.

“Menjelang 9.30 pagi, pihak pentadbiran memanggil kesemua pelatih di situ dan mendapati tiga daripada mereka sudah melarikan diri dan bertindak membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Bachok, Deputi Superintendan Abd Hamid Che Ahmad berkata polis sudahpun menerima laporan berkaitan kes berkenaan daripada Puspen.

Beliau berkata sebaik menerima laporan polis bertindak mengadakan Ops Tutup bagi mengesan kesemua pelatih yang melarikan diri itu.

“Ketiga penagih yang lari itu berusia 30an dan berasal dari Pasir Puteh, Kelantan; Johor dan Perak.

“Polis mengadakan Ops Tutup bagi mengesan seberapa segera penagih itu dan bagi menggelak mereka pergi lebih jauh lagi,” katanya ketika ditemui selepas Ujian Kemahiran Menembak Persahabatan Antara PDRM dengan Pasukan Menteri Besar Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri di Gunong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Katanya, polis sudah mengedarkan gambar ketiga-tiga pelatih berkenaan dan percaya mereka masih di sekitar Bachok.