KUALA LUMPUR, 28 Januari:

Seorang pelajar Malaysia terbunuh dalam satu kemalangan motosikal di Chitradurg, India, semalam.

Uthaya Kumar Selvaraj yang merupakan pelajar Kolej Perubatan Melaka-Manipal (MMMC), dilaporkan menaiki sebuah motosikal bersama seorang rakannya yang merupakan rakyat tempatan, Muhammad Suhail Muneer.

Mereka berdua adalah sebahagian daripada Kelab Motosikal Penunggang Diraja yang berpangkalan di India.

Menurut rakan yang juga jiran Uthaya, Loganathan Krishnan, kedua-dua lelaki itu sepatutnya dalam perjalanan dari Chitradurga ke Manipal, apabila mereka dipercayai bertembung dengan sebuah bas.

“Mereka dalam perjalanan pulang daripada satu jelajah, 300 kilometer dari Manipal. Beliau (Uthaya) adalah pembonceng, kerana motosikalnya rosak minggu lalu,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Menurutnya, kemalangan itu mengejutkan keluarga dan rakan-rakan mangsa.

Tambahnya, ibu bapa Uthaya akan berlepas ke India, esok untuk menghadiri upacara pengebumian anak mereka.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan mengesahkan kemalangan itu berlaku antara jam 11 hingga 12 malam dan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang berusia 23 tahun itu, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kerajaan Chitradurga.

Pegawai dari Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai dan JPA akan pergi ke hospital bagi membantu proses menuntut mayat pelajar tahun tiga itu.

Tambahan, rakan-rakan Uthaya di Malaysia telah memulakan kutipan derma bagi membantu keluarga mangsa dengan kos pengebumiannya.

Mereka yang mahu menderma boleh menghulurkan sumbangan kepada akaun bank Loganathan Krishnan di CIMB 7016848447.