KUALA LUMPUR, 28 Januari:

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan, pekerja boleh membuat pilihan untuk mengekalkan kadar caruman pada 11 peratus, dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun.

Menurut kenyataan KWSP, pekerja boleh memuat turun Notis KWSP 17A Khas 2016 di laman sesawang www.kwsp.gov.my mulai 2 Febuari ini dan ia perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada pejabat KWSP berhampiran.

Semasa membentangkan Pengubahsuaian Bajet 2016 di Putrajaya, hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengurangan kadar berkanun caruman pekerja kepada lapan peratus daripada 11 peratus untuk pekerja di bawah 60 tahun.

Sementara itu, caruman pekerja berumur 60 tahun ke atas pula dikurangkan kepada empat peratus daripada 5.5 peratus.

Penurunan kadar tersebut akan bermula untuk gaji Mac 2016 sehingga Disember 2017.

Jadual baru Kadar Caruman Bulanan boleh dimuat turun mulai 16 Februari ini.

Menurut KWSP, tiada perubahan pada kadar caruman berkanun syer majikan.