KOTA BHARU, 28 Januari:

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan parti terbabit mengikuti dengan penuh prihatin Surat Teguran Bank Negara Malaysia (BNM) kepada Tabung Haji (TH) khususnya terhadap nilai aset TH yang dikatakan lebih rendah dari liabiliti.

Beliau berkata Pas berpandangan langkah BNM itu adalah wajar atas kapasitinya sebagai Pengawal Utama Sektor Kewangan negara, khususnya dalam suasana ekonomi dunia yang lembap dan mencabar yang mana Malaysia tidak terkecuali dari menerima akibatnya.

Namun begitu, katanya, sesuatu teguran mahupun nasihat yang dikeluarkan oleh BNM kepada institusi seumpama TH tidak seharusnya sehingga menimbulkan suasana panik dan menjejaskan keyakinan yang tidak sepatutnya dari para Pendeposit terhadap TH.

“Pas sebenarnya amat yakin dengan kemantapan sistem Tadbir Urus yang baik yang diamalkan oleh TH selama ini, yang bukan sahaja selaras dengan Pematuhan Syariah, tetapi juga mementingkan manfaat dan menjana pulangan pendapatan yang baik kepada para pendepositnya.

“TH bukanlah sebuah bank dan diyakini tidak beroperasi sebagai Institusi Kewangan yang lebih berorientasikan keuntungan maksima berbanding dengan pulangan kepada pendeposit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, berkata sehubungan dengan itu, Pas berpuas hati dengan penjelasan oleh Menteri yang menjaga Tabung Haji, Datuk Khir Johari Baharom (yang ditemui sendiri di Parlimen semalam) serta Pengurusan Tertinggi TH yang mengesahkan Prestasi Kewangan TH berada dalam keadaan baik terutama apabila mengambil kira Nilai Aset keseluruhan potfolio pelaburan TH.

Menurutnya apa yang lebih penting lagi adalah jaminan bahawa Bonus Pendeposit bagi tahun 2015 akan diumumkan dan dibayar dalam waktu terdekat.

“Pas mengharapkan TH akan terus komited dan melaksanakan amanah para pendeposit terutama memastikan hasrat mereka untuk menunaikan fardhu Haji tidak terhalang dengan apa jua kemungkinan,” katanya.