KUALA LUMPUR, 28 Januari:

Satu objek dipercayai serpihan sebuah bangkai pesawat ditemui di tepi pantai Beting Lintang, berhampiran Kampung Raja, Besut di Terengganu, petang semalam.

Sinar Harian melaporkan seorang tukang rumah, Zakaria Muhammad, 26, menemui serpihan bangkai pesawat itu ketika berjalan di tepi pantai bersama anak perempuannya berusia 9 tahun kira-kira 6 petang.

Menurutnya, dia bertindak menarik serpihan terbabit ke pantai sebaik sahaja terpandang objek itu yang terdampar di tepi pantai.

“Selepas terpandang objek tersebut, saya terus terlintas ia adalah serpihan pesawat (MH370) kerana bentuk dan warnanya.

“Apabila saya mendekati objek itu, saya bertambah yakin kerana ia adalah kepingan logam tahan karat aluminium,” katanya yang dipetik Sinar Harian.

Penemuan serpihan tersebut menyebabkan timbul spekulasi ia mungkin milik pesawat Malaysia Airlines  System (MAS) penerbangan MH370 yang hilang hampir dua tahun lalu.

Zakaria berkata lagi, sebaik menemui objek itu petang semalam dia hanya memaklumkan penemuan tersebut kepada beberapa penduduk kampung sebelum berita penemuan itu menjadi heboh selepas tersebar melalui laman sosial pagi tadi.

Menurutnya, bangkai tersebut yang dianggarkan berukuran kira-kira tiga meter panjang dan satu meter lebar mempunyai beberapa lapisan logam serta kesan telah terpisah daripada bahagian lain.

Zakaria lagi, ada beberapa individu dipercayai terlibat dalam bidang penerbangan datang melihat serpihan ini kira-kira jam 11 pagi semalam dan mendakwa serpihan tersebut dipercayai sebahagian daripada kulit enjin sebuah pesawat.

“Penemuan ini sudah dimaklumkan kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)  kampung ini semalam dan selepas itu orang ramai berpusu-pusu datang untuk melihat objek tersebut,” katanya.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan polis Terengganu minta pasukan penyiasat dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk meneliti penemuan objek seakan-akan serpihan pesawat di lokasi tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abdul Rahman berkata pihaknya sudah pun menghubungi DCA dan TUDM untuk ke lokasi penemuan.

Katanya, polis kini berada di lokasi bagi memastikan objek berkenaan tidak diusik sementara menunggu pasukan penyiasatan tiba.

“Kami sudah maklumkan penemuan kepada DCA dan TUDM Gong Kedak untuk menyiasat penemuan itu.

“Mereka mungkin sudah dalam perjalanan ke lokasi penemuan,” katanya.