KUALA LUMPUR, 28 Januari:

Mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) diminta merancang perbelanjaan mereka ketika berdepan dengan keadaan ekonomi ketika ini, kata Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

“Saya menyeru supaya para pelajar kita di universiti atau mana mana institusi pendidikan tinggi lain agak merancang perbelanjaan mereka ketika cabaran ekonomi sebegini.

“Ini penting kerana ketidakcekapan kita menguruskan perbelanjaan akan menyukarkan kehidupan kita, dan saya yakin pelajar kita mampu membuat perancangan yang baik disituasi begini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul juga menyeru ibu bapa merancang untuk masa depan pendidikan anak dimasa hadapan di mana pihaknya telah menyediakan prasarana untuk menabung bagi masa depan pendidikan.

Jelasnya, pihaknya berharap di mana akan datang dapat mengurangkan kebergantungan rakyat kepada pinjaman pendidikan sebaliknya banyak menggunakan wang yang disimpan untuk pendidikan anak anak.

“Malah kita yakin keperluan untuk perbelanjaan pendidikan akan bertambah pada masa hadapan. Oleh itu saya ingin galakan kita menyimpan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional PTPTN.

“Ini penting kerana jika situasi sebegini kita hadapi lagi, ibubapa tidak akan bimbang kerana mereka ada wang dalam skim simpanan yang boleh digunakan oleh anak anak di universiti,” katanya.

Mengulas mengenai Pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ahli Parlimen Lenggong itu menyambut baik pengumuman itu di mana pembiayaan RM5 bilion PTPTN terus kekal dan tidak dikurangkan.

Keputusan tersebut kata Shamsul membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan rakyat terus berpeluang mendapat pendidikan tinggi meskipun berdepan ekonomi global yang tidak menentu.

“Saya tidak boleh bayangkan keadaannya jika PTPTN tidak lagi mampu menyediakan dana pinjaman secukupnya kepada pelajar di negara ini.

“Ini kerana dalam setahun, PTPTN perlu menyediakan dana pembiayaan sekurang kurangnya RM5 bilion untuk 200,000 pelajar baru dan menyediakan pembiayaan kepada tidak kurang kepada 400,000 pelajar yang sedang belajar di pelbagai Institusi Pengajjan Tinggi Awam atau Swasta dalam negara ini.

“Ini menunjukan kesan besar akan berlaku kepada generasi muda dalam negara ini jika berlaku kekurangan dana PTPTN,” ujarnya.