JOHOR BARU, 28 Januari:

Sebanyak 23 mayat pendatang tanpa izin, dipercayai mangsa bot karam pada Selasa, ditemui di Kota Tinggi hari ini.

Penemuan terkini oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan mayat seorang lelaki dewasa yang ditemui kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman, berkata mayat terbaru itu ditemui pada jam 7 pagi.

“Mayat mangsa dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar bagi dokumentasi dan pengesahan identiti sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat,” katanya hari ini.

Rahmat berkata, sehingga jam 12 tengahari tadi, pasukan SAR sudah menemui sebanyak 23 mayat.

Semalam, pasukan SAR menemui beberapa lagi mayat terdampar di Pantai Sungai Tengah di Kota Tinggi.

Pada pagi Selasa, mayat 13 pendatang tanpa izin ditemui terapung di kawasan pantai Tanjung Kelisa di Kota Tinggi.

Difahamkan, bot yang mangsa naiki terbalik akibat dipukul ombak besar di luar pantai Bandar Penawar malam sebelumnya ketika dalam usaha mereka untuk pulang ke Indonesia secara haram.