KUALA LUMPUR, 28 Januari:

Keperitan menanggung kerinduan oleh seorang ibu yang terpisah dengan anaknya sejak 10 tahun lalu tamat, apabila dua anaknya kembali ke tanah air hari ini.

Anisah Tukiman, 40, berpisah dengan Muis, 16, dan Muhammad Zickrie, 14, selepas ditinggalkan di Jengguar, Lombok, bersama bekas suaminya.

Dia berkahwin dengan M. Amin, 57 di negara ini, sebelum berpindah ke negara asal suaminya, iaitu di Pekan Lombok, pada 2006 dan bercerai dua tahun kemudian atas alasan kewangan.

“Saya pulang ke Malaysia, tetapi tidak dapat membawa anak, kerana masalah kewangan.

“Saya gembira dapat membawa balik anak saya ke Malaysia,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, bekas suaminya dengan hati terbuka melepaskan dua anaknya, namun dia terpaksa meninggalkan seorang anak perempuannya, Azura, 10, yang dilahirkan di Indonesia.

Katanya, sukar untuk membawa pulang anak perempuannya, namun dia akan terus menghubungi anaknya itu setiap masa.

Anisah berkata, bekas suaminya hanya bekerja sebagai petani, bagi menanggung kehidupan mereka sekeluarga sebelum ini.

Menurutnya, dia akan meneruskan kehidupan dengan keluarganya di Kuala Langat.

Sementara itu, Muis berkata, ibunya sering menghubungi mereka melalui telefon bimbit dan dia gembira dapat kembali bersatu dengan ibunya.

Katanya, ketika tinggal bersama bapanya, dia dan adiknya ada diberikan pendidikan, selain bekerja separuh masa di sawah bagi membantu ayahnya.

“Saya tidak bersekolah sejak setahun lalu, tetapi adik masih bersekolah,” katanya.

Usaha membawa pulang dua beradik terbabit dijayakan Biro Antarabangsa Pemuda Umno yang diketuai Ketua Pemuda Umno Kuala Langat, Jefrizal Jaafar.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Umno, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata, usaha membawa pulang dua anak Anisah itu dilakukan sejak sebulan lalu dan pelbagai halangan dilalui mereka bagi membawa pulang dua remaja terbabit.

“Kita akan membantu dari segi pendidikan dan bagi Muis, mungkin dari segi latihan serta bantuan sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, kira-kira tujuh kes sedemikian telah diselesaikan Biro Antarabangsa Pemuda Umno.