SUNGAI BULOH, 28 Januari:

Padah berlumba sesama sendiri, tiga penunggang dan seorang pembonceng motosikal maut dalam kejadian di Kilometer 12.8 Lebuhraya Koridor Gutrie, lewat malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.32 malam itu, semua mangsa yang menaiki motosikal jenis Kawasaki RR maut selepas merempuh sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Rozi Jidin berkata, siasatan awal mendapati semua mangsa berkonvoi dari arah Sungai Buloh ke Shah Alam.

Menurutnya, kumpulan penunggang motosikal ini dipercayai berlumba sesama sendiri dan tidak sempat mengelak treler yang berada di lebuh raya berkenaan.

“Mangsa merempuh bahagian belakang sebuah treler dan menyebabkan mereka terbabas serta meninggal dunia di tempat kejadian.

“Semua mangsa di bawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti Shariffudin Zailani, 21, Syawalnizam Azman, 21, Mohd Zaki Yahya, 23 dan Muhammad Habiibullah Ruslan, 20 yang masing-masing berasal dari Sungai Buloh, Rawang dan Sungai Petani, Kedah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.