KUALA LUMPUR, 28 Januari 2016:

Dewan Negara hari ini mengadakan mesyuarat khas sehari untuk membahaskan usul penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Usul dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Ia kemudian dibahaskan anggota Dewan Negara sebelum sesi penggulungan oleh kementerian-kementerian berkaitan petang ini.

Dewan Rakyat dalam mesyuarat khas dua hari berakhir semalam telah meluluskan usul menyokong penyertaan Malaysia dalam perjanjian perdagangan terbesar di dunia itu.

Jika usul berkenaan diluluskan Dewan Negara, Malaysia dijangka menandatangani perjanjian itu pada 4 Februari di New Zealand.

Selain Malaysia, 11 negara lain yang menamatkan rundingan TPPA pada 5 Oktober lepas ialah Brunei, Singapura, Vietnam, Jepun, Kanada, New Zealand, Australia, Amerika Syarikat, Peru, Chile dan Mexico.