KUALA LUMPUR, 27 Januari:

Tabung Haji akan memberi dividen kepada pendeposit-pendeposit pada awal Februari depan.

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata perkara itu memang sudah dimasukkan ke dalam takwim dan meminta pendeposit-pendeposit tidak terpengaruh dengan fitnah kononnya Tabung Haji sedang mengalami kerugian.

“Jadi saya ingin memaklumkan kepada semua penabung-penabung bahawa sabarlah, memang suku tahun pertama seperti lazim yakni tabung haji akan mengumumkan dividen.

“Kita akan mengumumkan dividen dalam masa terdekat ini InsyaAllah sebelum Hari Raya Cina, minggu pertama bulan kedua.

“Ini memang dalam takwim kita. Jadi kalau ada fitnah mengatakan tabung haji telah rugi duit, kehilangan duit, tidak akan bayar dividen adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini.

Tabung Haji dikritik hebat apabila surat nasihat dari Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai penyusutan rizabnya dan nilai pelaburannya yang merosot bocor.

BNM kemudiannya mengesahkan perkara itu tetapi mengatakan dana haji itu telah mengambil tindakan pembetulan dan menuju ke satu kedudukan kewangan yang mampan dan sihat.

Menurut Azeez, surat nasihat yang dikeluarkan oleh BNM ketika itu tidak mengambil kira. Keseluruhan nilai aset Tabung Haji.

“Saya ingin memaklumkan kiraan nilai aset Tabung Haji, kita mengambil kira keseluruhan nilai saksama portfolio pelaburan Tabung.

“Ini adalah kerana nilai aset yang dinyatakan BNM tidak mengambil kira port folio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat, atau syarikat bersekutu serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki oleh Tabung Haji,” kata ahli Parlimen Baling itu.

Azeez dalam sidang media yang sama turut mengumumkan subsidi Tabung Haji yang akan diberikan jemaah Haji bernilai RM167 juta.

“Mereka nak pergi haji tahun ini kosnya adalah RM18,980 dan di mana Tabung Haji hanya mengambil caj operasi sebanyak RM9,980.

“Maknanya setiap yang nak pergi Mekah kali pertama mereka disubsidikan oleh Tabung Haji sebanyak RM8,910.

“Mana mungkin Tabung Haji tanggung subsidi ini kalau kita kerugian duit,” ujarnya.