KUALA LUMPUR, 27 Januari:

Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyerang Tabung Haji kononnya sedang mengalami kerugian adalah disebabkan beliau sebagai Pengerusi.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata selepas gagal menyerangnya secara peribadi, sasaran diarahkan kepada Tabung Haji yang diterajuinya.

“Kita tidak ada masalah. Ini dakyah polemik politik kerana saya jadi pengerusi, sebagai ahli politik sebab itu mereka nak serang peribadi tidak boleh, mereka serang Tabung Haji.

“Makcik-makcik jangan percaya, kami ini pun orang beramanah, kami orang Islam, kami akan jaga Tabung Haji dengan baik.

“Jangan risau Tabung Haji tidak ada kerugian wang sama sekali. Ini adalah satu polemik dipolitikkan,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini.

Ahli Parlimen Baling itu juga turut membidaskan tindakan pembangkang kononnya terdapat institusi-institusi lain yang meletakkan wang mereka di dalam Tabung Haji.

Beliau menegaskan Tabung Haji khas untuk orang Islam dan tidak ada institusi-institusi lain yang menabung di dalam Tabung Haji.

“Saya juga ingin memaklumkan kepada pihak-pihak pembangkang. Hari ini saya tengok DAP memberikan kenyataan mengatakan institusi-institusi banyak letak duit dalam Tabung Haji tidak benar sama sekali.

“Tabung haji hanya untuk orang Islam, rakyat Malaysia sahaja boleh menabung dalam Tabung Haji.

“Saya ahli Parlimen BN. Justeru mereka nak politikkan Tabung Haji sehingga boleh fitnah yang kita telah kehilangan duit, muflis dan pelbagai dakyah pembangkang yang mula dimainkan di blog dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai kebocoran surat nasihat Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai penyusutan rizab Tabung Haji, Azeez berkata beliau akan berbincang dengan peguam untuk ambil tindakan lanjut.

“Berkaitan apa yang surat BNM yang bocor, saya sedang berbincang dengan pihak peguam bagaimana tindakan susulan yang saya nak ambil sebab surat itu dalam simpanan saya.

“Saya akan ambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan surat BNM itu yang penuh tidak bertanggungjawab,” tegasnya.