KUCHING, 27 Januari:

Usahawan muda menyerang pasaran pengguna Sarawak melalui perniagaan trak makanan.

Dengan menggunakan grafiti dan jenama nama menonjol di trak makanan, kehadiran mereka di bandar ini mendapat pujian, namun ia turut memeningkan sebahagian kecil peniaga tradisional.

Pun begitu, pengusaha trak makanan masih bergelut dengan konsep baru itu di Bumi Kenyalang.

“Kami baru dapat saman pertama kerana beroperasi secara haram,” kata Pengasas Noms on Street, Kelvin Chong.

Noms on Street adalah satu daripada jenama terkenal trak makanan di South City dan Chong berkata, buat masa ini, mereka berniaga dalam ketidakpastian.

“Kami cuba dapatkan lesen, tetapi majlis perbandaran beritahu kami kerajaan tidak mempunyai sebarang peruntukan undang-undang,” katanya kepada The Rakyat Post.

Sehubungan itu, Chong mahu menubuhkan sebuah persatuan trak makanan di Sarawak, untuk menyatukan semua pengusaha trak makanan di bawah persatuan itu.

“Ada empat pengusaha di Sibu dan tiga di Miri. Saya rasa untuk memulakan konsep baru ini, kami perlu bekerjasama dengan semua pihak, kerana perniagaan ini masih di peringkat baru,” kata Chong.

Perniagaan trak makanan masih asing dan baru di Sarawak, kerana ramai yang menyamakan mereka dengan penjaja jalanan.

Seorang lagi pengusaha trak makanan, Kuching Food Kartel, Awang Hasrullah Awang Ismail berkata, ada pelanggan yang mengadu terpaksa membayar RM7 untuk sebiji burger.

“Kami membuat patty daripada asas dan bukannya menjual patty beku kepada pelanggan.

“Saya akui kami masih baru dan ada banyak perkara perlu dilakukan.

“Kehadiran kami sekarang sama seperti mendidik orang ramai bahawa perniagaan trak makanan adalah konsep baru,” kata Awang Hasrullah.

Menurutnya, setakat ini, beliau belum dapat sebarang saman daripada pihak berkuasa tempatan.

“Nampaknya saya mendapat sokongan daripada majlis perbandaran di bandar ini dan mereka telah memberi lesen penjaja kepada saya,” katanya yang turut mendapat sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Jelasnya, perniagaan trak makanan amat baru sehingga pihak berkuasa tidak tahu apa patut mereka lakukan.