KUALA LUMPUR, 27 Januari:

Keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menutup kes SRC International dan dana RM2.6 bilion dibuat setelah melalui satu mesyuarat khas bagi membincangkan isu tersebut.

Pengurusan Tertinggi SPRM memutuskan untuk membentangkan keputusan Peguam Negara kepada Panel Penilaian Operasi (PPO), salah satu badan bebas yang dibentuk oleh kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM mengikut Akta SPRM 2009, untuk penilaian dan pertimbangan PPO dan sebuah panel khas yang akan dilantik.

“Salah satu terma rujukan PPO ialah memberi pendapat berhubung tindakan kes-kes yang diputuskan untuk tidak dituduh oleh Pendakwa Raya.

“PPO dianggotai oleh Tan Sri Dr Hamid Bugo sebagai Pengerusi, Tan Sri Jawhar Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datuk Azizah Arshad, Dato’ Wan Abdul Wahab Abdullah, Profesor Dr. Normah Omar, Dr Sundramoorthy M. Pathmanathan dan Tuan Lim Chee Wee,” menurut kenyataan SPRM hari ini.

Semalam, Peguam Negara membersihkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang kesalahan jenayah berkaitan siasatan kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib.

Bercakap di Putrajaya, Mohamed Apandi berkata, siasatan mendapati, jumlah yang didepositkan adalah RM2.08 bilion dan ia adalah sumbangan peribadi kerabat diraja Arab Saudi pada 2013.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.03 bilion telah dikembalikan semula kepada penyumbang pada tahun sama.

“Tiada apa-apa kesalahan jenayah,” katanya dalam sidang media semalam.