SHAH ALAM, 27 Januari 2016:

Padah menyamar sebagai pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KDNKK), empat lelaki ditahan di sebuah kedai di Seksyen U21, Bukit Jelutong, Jumaat lalu.

Dalam kejadian Khamis lalu, empat suspek memasuki premis yang dimiliki seorang lelaki berusia 59 tahun kira-kira jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, suspek yang mengenakan pakaian formal dan menunjukkan pas pegawai KPDNKK itu mendakwa mangsa tidak memiliki lesen dan melakukan kesalahan dari segi perniagaan.

Menurutnya, mangsa yang menjalankan perniagaan runcit bimbang dikenakan tindakan bersetuju untuk membayar sejumlah wang yang diminta suspek.

“Suspek menawarkan penyelesaian di luar mahkamah dan meminta mangsa membayar RM10,000.

“Namun selepas tawar menawar, mangsa bersetuju untuk membayar RM3,000 dengan pendahuluan RM1,300 dan mengambil baki pada keesokannya.

“Mangsa yang menyedari tertipu membuat laporan ke balai polis berdekatan pada hari kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.

Shafien berkata, semua suspek berusia 28 hingga 55 tahun ditahan itu pada keesokannya selepas datang ke premis untuk mengambil baki wang berkenaan.

Katanya, semua suspek mempunyai 14 rekod membabitkan jenayah dan dadah manakala seorang di antara mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, kumpulan yang aktif sejak enam bulan lalu ini dipercayai terlibat dalam 11 kes penyamaran di Shah Alam, Gombak, Selayang, Kuala Selangor dan Klang.

“Kad kuasa ini dipalsukan dan kita akan menyiasat sumber dokumen yang diperolehi suspek,” katanya.

Katanya, kumpulan ini menyasarkan kedai yang menjalankan perniagaan runcit dan menawarkan sejumlah wang bagi mengelakkan mangsa dikenakan sebarang tindakan kerana melakukan kesalahan dalam perniagaan.

Menurutnya, semua suspek didapati postitif ujian dadah jenis Syabu dan disambung reman hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana peras ugut dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.