JOHOR BARU, 27 Januari 2016:

Empat lagi mayat dipercayai pendatang tanpa izin Indonesia ditemui di pantai Sungai Tengah, Kota Tinggi, hari ini.

Mayat berkenaan ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat sekitar jam 7 pagi dipercayai mangsa yang lemas selepas bot mereka karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi semalam.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk kembali ne Indonesia secara haram.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman mengesahkan penemuan empat mayat berkenaan dan berkata polis masih menjalankan siasatan berhubung penemuan itu.

“Kami menerima maklumat berkenaan penemuan empat lagi mayat di Pantai Sungai Tengah pagi ini,” katanya.

Pada pagi Selasa, 13 mayat pendatang haram ditemui terapung di pantai Tanjung Kelisa di Kota Tinggi.

Difahamkan, bot yang dinaiki kesemua mangsa terbabit terbalik selepas dilanda ombak besar di perairan Bandar Penawar pada malam sebelum mereka berjaya keluar ke Indonesia.

Siasatan awal mendapati 13 mangsa iaitu sembilan wanita dan empat lelaki terbabit merupakan warga Indonesia.