KUALA LUMPUR, 26 Januari:

Sebuah syarikat pengedar emas kerugian RM1.6 juta selepas hasil jualannya disamun 11 lelaki di Jalan Klang Lama, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dua pekerja emas yang berusia 32 dan 54 tahun dalam perjalanan ke sebuah bank di Taman Desa, untuk memasukkan wang hasil jualan sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Shahrul Othman Mansor berkata, kejadian itu berlaku apabila kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal dihampiri sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira dan lima motosikal.

Menurutnya, salah seorang mangsa telah dilanggar dari arah belakang sebanyak tiga kali, sebelum terjatuh.

“Rakan mangsa yang melihat kejadian itu cuba melarikan diri, namun dikepung kira-kira 10 lelaki.

“Suspek mengacukan pistol dan pisau ke arah mangsa, sebelum merampas beg galas dan melarikan diri,” katanya ketika dihubungi.

Shahrul berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua mangsa sudah bekerja sebagai penghantar wang dan pengiring, sejak tiga hingga enam bulan lalu.

Menurutnya, pengiring tersebut mempunyai senjata api untuk keselamatan ketika membawa wang ke bank.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian siku dan patah bahu kiri, akibat dilanggar suspek.

“Siasatan polis menemui kenderaan yang digunakan suspek di Jalan Kuchai Lama tadi,” katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan dengan melihat rakaman kamera litar tertutup di sekitar kawasan kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, kerana menyamun.