PETALING JAYA, 26 Januari 2016:

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli didenda RM1,800 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah kerana menuduh ahli Umno terbabit dalam rancangan untuk menyerang gereja di Selangor.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Azwarnida Affandi berkata, pendakwaan telah membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Tertuduh yang juga ahli parlimen sepatutnya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan,” katanya yang bersetuju dengan hujah pendakwaan.

Azwarnida berkata, walaupun tertuduh mempunyai hak untuk membangkitkan isu, beliau bagaimanapun telah menyentuh sensitiviti individu dan kenyataan itu menamakan Umno Selangor secara khusus.

“Kenyataan itu sepatutnya dibuat dalam konteks gerakan Kajang sahaja,” katanya.

Azwarnida turut mengarahkan Rafizi membayar denda RM1,800, atau penjara 10 bulan jika gagal berbuat demikian.

Rafizi kekal sebagai wakil rakyat kerana kehilangan kelayakan seorang ahli politik hanya akan berlaku jika mahkamah mengenakan denda sebanyak RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya.

Peguambela Eric Paulsen mewakili Rafizi manakala Timbalan Pendakwaraya Roslan Mohd Nor sebagai pihak pendakwa.

Ahli Parlimen Pandan yang berusia 39 tahun itu didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengja menghina melalui kenyataan dalam satu artikel bertajuk “Adakah Rafizi berhenti jika Selangor tidak digulingkan” semasa pilihan raya kecil Kajang.

Rafizi dalam temubual telefon kepada The wartawan Edge Financial Daily menuduh Umno Selangor melemparkan Molotov koktel ke dalam tempat ibadah, di mana kenyataan itu telah diterbitkan dalam artikel oleh FZ.