KUALA LUMPUR, 26 Januari:

Polis hari ini membebaskan pemandu kereta mewah BMW yang melanggar enam penganut Hindu, sehingga menyebabkan tiga daripadanya maut di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Sabtu lalu.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S. Markandan berkata, suspek berusia 20-an itu dibebaskan dengan jaminan polis, selepas tempoh reman tiga hari tamat hari ini.

“Pemandu dibebaskan dengan jaminan polis, sementara siasatan selesai,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan dalam masa terdekat.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, K. Saravanan, 45, bersama C. Kannan, 51, dan S. Papa, 53, yang berjalan di lorong kecemasan dari arah Seremban, maut di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur keluar ke Sri Petaling, selepas dilanggar BMW berwarna hitam yang datang dari arah bertentangan.

Tiga lagi rakan mereka yang cedera parah, P. Mageswaran, 40; D. Darrshen, 18, dan seorang wanita, S. Anjalai Devi, 44, dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan untuk menerima rawatan.

Mereka yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu adalah sebahagian daripada rombongan 45 peserta yang berjalan kaki dari Senawang menuju Batu Caves untuk menunaikan ‘nazar’, sempena sambutan Thaipusam, minggu lalu.