KOTA BHARU, 26 Januari:

Akibat tidak berpuas hati dan mahu meminta cerai, seorang isteri sanggup membuat fitnah kononnya suaminya meletakkan bom dalam rumah mereka di Nilam Puri, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pada mulanya, wanita berusia 30-an itu membuat laporan polis, Ahad lalu, menyatakan suaminya yang juga berusia 30-an mengugutnya dengan senjata.

“Pihak kami pergi ke rumah mereka dan membuat tangkapan terhadap suaminya, petang Ahad lepas.

“Apabila suaminya berada di lokap (balai polis), isterinya sekali lagi membuat laporan menyatakan ada bom di sebuah bilik rumah mereka. Padahal semasa tangkapan si suami, tidak ada apa yang ditemui polis,” katanya pada hari ini.

Mazlan berkata demikian sebagai mengulas khabar angin seorang penduduk menemui bom dalam sebuah rumah di Nilam Puri.

Beliau berkata, polis mendapati objek yang didakwa bom itu, sebenarnya ialah bekas minyak pelincir kosong yang digunakan suaminya, seorang tukang paip untuk meletakkan peralatan kerjanya.

Katanya, dakwaan seumpama itu tidak harus dilakukan, kerana boleh menyebabkan kebimbangan masyarakat.